POLITIK

PRN: PH sasar menang minimum 19 kerusi DUN Negeri Sembilan

KUALA PILAH – Keyakinan terhadap sokongan pengundi serta rekod pentadbiran kerajaan negeri menjadi sandaran Pakatan Harapan (PH) untuk mencapai sasaran kemenangan sekurang-kurangnya 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu ini.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata gabungan itu turut menjangkakan mampu meraih antara 21 hingga 22 kerusi sebagai sasaran terbaik berdasarkan perkembangan semasa sepanjang tempoh kempen serta prestasi pada pilihan raya sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan akhir tetap bergantung kepada kebijaksanaan pengundi dalam menentukan wakil rakyat yang akan dipilih.

Amirudin berkata, keyakinan PH turut disandarkan kepada kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, selain rekod pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH yang sudah menerajui negeri itu selama dua penggal.

“Kita cuba sedaya upaya untuk dapat minimum 19, dan kalau ada kemampuan yang lebih, kita mungkin boleh dapat antara 21 hingga 22. Itu jangkaan terbaik kita.

“Namun, kita percaya pada kebijaksanaan pengundi dan meneruskan kempen kerana kita melihat konsistensi sejak 2018,” katanya selepas menghadiri Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang, di sini, malam tadi.

Mengulas dakwaan mengenai kewujudan “gelombang biru” susulan keputusan politik di Johor yang dikatakan mampu mempengaruhi PRN Negeri Sembilan, Amirudin berkata naratif berkenaan sengaja dimainkan pihak tertentu bagi mempengaruhi pengundi.

Beliau berkata, PH sebaliknya akan terus mengetengahkan agenda Malaysia MADANI serta perpaduan rakyat sebagai tawaran utama kepada pengundi di negeri itu.

“Sudah pasti itu cuba dicipta oleh pembangkang sekarang, tapi di sini kita mempunyai sejarah kepimpinan dan juga tokoh besar sendiri.

“Kita akan cuba mengetengahkan solusi ataupun pandangan kita untuk mengetengahkan konteks MADANI, kesatuan rakyat sebagai solusi berbanding dengan retorika perpaduan mana-mana kaum,” katanya.

Esok, seramai 867,151 pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu selepas DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN Negeri Sembilan diadakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button