PRN Negeri Sembilan: Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di DUN Chennah
SEREMBAN – Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, menyasarkan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah yang kini disandang Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Jelasnya, hasrat untuk bertanding Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan nanti didorong oleh rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan DAP yang dilihat gagal mengotakan janji-janjinya kepada rakyat, lapor SH Online.
“Saya belum pernah menjadi ahli mana-mana parti politik kerana perjuangan saya selama ini adalah atas kapasiti peribadi.
“Tapi mungkin PRN di Negeri Sembilan menjadi medan pertama saya menceburi politik,” katanya.
Mengenai parti yang bakal diwakilinya, Albert atau nama sebenarnya Tei Jiaan Cheing, 37, berkata, beliau masih mempertimbangkan tawaran diterimanya, tetapi ia hampir pasti.
“Lagi pun ramai kawan-kawan dan juga pengikut saya di media sosial yang berharap saya bertanding dalam pilihan raya kali ini. Mungkin saya akan umumkan keputusan itu minggu depan,” katanya hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut, Anthony Loke mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Chennah pada PRN akan datang.
Beliau mula bertanding di DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,098 undi selepas memperoleh 5,128 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN).
Pada PRN Negeri Sembilan 2023, beliau sekali lagi berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 2,200 undi apabila memperoleh 5,888 undi, kali ini menewaskan calon Perikatan Nasional (PN).
Sebelum bertanding di DUN Chennah, Anthony merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















