PRN Negeri Sembilan: Walkabout Dr Hakim mampu sentuh hati pengundi di DUN Rantau – Syed Ibrahim
REMBAU – Pendekatan kempen secara walkabout yang dilakukan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi diyakini mampu menyentuh hati pengundi sekali gus meningkatkan keyakinan mereka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, walaupun kaedah bertemu pengundi dari rumah ke rumah dilihat lebih mencabar berbanding penganjuran ceramah berskala besar, pendekatan itu memberi ruang kepada calon mendengar sendiri denyut nadi dan keperluan rakyat.
Menurut Ahli Parlimen Ledang itu, beliau menghormati kesungguhan Dr Hakim yang sanggup turun padang menyantuni penduduk secara bersemuka sepanjang tempoh berkempen.
“Saya tabik kepada Dr Hakim kerana berani turun padang, bergerak dari rumah ke rumah melalui program walkabout seperti ini.
“Kadang-kadang orang melihat kaedah sebegini sukar dan tidak begitu menonjol berbanding ceramah besar.
“Namun saya percaya pendekatan bertemu rakyat secara bersemuka, mendengar sendiri masalah mereka dan menyentuh hati mereka mampu memberikan keyakinan kepada pengundi,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune selepas menyertai program walkabout di Kampung Nyatoh, di sini hari ini.
Syed Ibrahim berkata, kawasan Rantau mempunyai cabarannya yang tersendiri kerana melibatkan banyak kawasan kampung, namun situasi itu tidak asing baginya memandangkan kawasan Parlimen Ledang yang diwakilinya turut mempunyai karakteristik hampir sama.
“Keadaannya tidak jauh berbeza dengan kawasan saya di Ledang yang mempunyai banyak kampung.
“Di kawasan saya sahaja ada 73 kampung, memang kawasannya luas dan jauh ke pedalaman,” katanya.
Beliau turut mengakui Rantau merupakan kubu kuat Barisan Nasional yang sinonim dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, namun menyifatkan keadaan itu bukan alasan untuk berputus asa.
Sebaliknya, katanya, ia menjadi suntikan semangat kepada jentera PH untuk bekerja lebih keras, memperhebat usaha mendekati rakyat dan menyampaikan mesej kempen secara lebih dekat serta berkesan.
“Sudah tentu kita tahu kawasan ini merupakan kubu kuat Tok Mat. Ada kalanya kita mendengar pandangan sedemikian sehingga boleh berasa sedikit kecewa.
“Tetapi saya melihat keadaan itu sebagai peluang untuk kita bekerja lebih keras dan mendekati rakyat dengan lebih bersungguh-sungguh,” katanya.
Dr Hakim akan bertanding melawan penyandang DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam PRN Negeri Sembilan kali ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















