BERITA SEMASA

MAPIM kecam tindakan kumpulan pamer Jalur Gemilang terbalik di Australia

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan kumpulan yang menamakan diri mereka Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) Australia yang didakwa mempamerkan bendera Jalur Gemilang secara terbalik sewaktu mengadakan demonstrasi di hadapan Bangunan Parlimen Victoria, Melbourne, Australia, semalam.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan provokatif yang turut dilaporkan media tempatan itu adalah keterlaluan serta mencetuskan persoalan serius mengenai kaedah yang diguna pakai oleh kumpulan terbabit dalam menyuarakan tuntutan politik berkaitan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“MAPIM menegaskan, Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan, maruah, dan identiti negara yang wajib dihormati oleh setiap warganegara tanpa mengira lokasi mereka, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

“Sebarang perbezaan fahaman politik mahupun ketidakpuasan hati terhadap dasar kerajaan tidak wajar dijadikan alasan untuk memperlekeh lambang kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Azmi turut berkata, pihaknya turut bimbang terhadap naratif yang menggambarkan Semenanjung Tanah Melayu sebagai penjajah ke atas Sabah dan Sarawak, terutamanya jika mesej sedemikian bertujuan menyemai bibit permusuhan dan kebencian antara rakyat di kedua-dua wilayah dengan Semenanjung.

Walaupun begitu, MAPIM tetap mengiktiraf kepentingan serta kedudukan tersendiri Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia, sambil menggesa Kerajaan Persekutuan supaya terus memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pemeliharaan hak perlembagaan, dan penyelesaian tuntutan berbangkit secara telus dan adil.

“MAPIM menyeru rakyat di Semenanjung, Sabah, dan Sarawak supaya tidak terperangkap dalam provokasi tersebut bagi mengelakkan sentimen perpecahan daripada berpanjangan.

“Kami turut menegaskan, perbezaan pandangan mengenai masa depan negara mesti ditangani menerusi dialog demokratik serta proses perlembagaan yang sah,” kata Mohd Azmi lagi.

Beliau seterusnya menggesa kerajaan supaya memperkasakan pendidikan sejarah pembentukan negara kepada generasi muda, manakala pihak berkuasa yang berkaitan diminta menyiasat sebarang pelanggaran undang-undang berhubung insiden berkenaan secara adil, profesional, dan berlandaskan fakta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button