BERITA SEMASA

41 individu terima pengiktirafan Anugerah MAPIM-KPT 2024 atas sumbangan penerbitan ilmiah negara

PUTRAJAYA – Seramai 41 individu yang terdiri daripada penyelidik, penulis, penyunting, pereka, pemasar dan mereka yang terlibat dalam penerbitan ilmiah telah menerima pelbagai pengiktirafan sempena Anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) edisi ke-15.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Anugerah MAPIM-KPT 2024 bukan hanya suatu acara pengiktirafan, tetapi juga merupakan satu detik penting dalam memperingati usaha dan sumbangan dalam bidang penerbitan ilmiah negara.

Beliau berkata, penerbitan ilmiah adalah asas kepada perkembangan intelektual dan keunggulan bidang pengetahuan baik bidang sains, mahupun sains sosial di negara ini.

“Melalui proses penyelidikan, analisis, dan perbincangan yang berterusan akan menghasilkan pemikiran dan pengetahuan berkembang serta akan membentuk landasan inovasi dan kemajuan ke hadapan.

“Justeru, penerbitan ilmiah memainkan peranan penting dalam menghubungkan ilmu pengetahuan dengan masyarakat, menggalakkan perkongsian idea, dan membina jaringan ilmiah yang kukuh.

“Namun, kita tidak seharusnya tertumpu kepada hasil tetapi wajar kita lihat apakah keberhasilan utama penerbitan ilmiah ini kepada kepada negara dan masyarakat,” katanya.

Antara individu yang menerima Anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) edisi ke-15. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune
Antara individu yang menerima Anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) edisi ke-15. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan Majlis Perasmian Anugerah MAPIM-KPT ke-15 di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya, hari ini.

Menerusi acara berkenaan, Mustapha turut menyampaikan Anugerah Utama dan Anugerah Penghargaan bagi 20 kategori, merangkumi pencapaian cemerlang tahun 2023.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor. Dr. Azlinda Azman serta Pengerusi MAPIM, Azman Hashim.

Sebagai rekod, Anugerah MAPIM telah diwujudkan sejak 2007 dan terbuka kepada semua penerbitan yang diterbitkan oleh ahli-ahli MAPIM yang kini mempunyai keanggotaan sebanyak 29 penerbit.

Pada tahun ini, sebanyak 20 kategori anugerah melibatkan kategori buku ilmiah terbaik, makalah jurnal terbaik, editor naskhah terbaik, ilmiah popular, karya suntingan terbaik dan reka bentuk buku terbaik bagi bidang sains sosial dan kemanusiaan serta sains, teknologi dan perubatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button