KPT tubuh jawatankuasa khas siasat semula kematian pelatih PALAPES UTM
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat semula kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, jawatankuasa itu dianggotai Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyediakan laporan lengkap dalam masa terdekat.
Beliau menjelaskan, langkah itu diambil selepas keluarga Allahyarham menyatakan rasa tidak puas hati terhadap laporan awal kematian dan memohon siasatan lanjut dijalankan.
“Permohonan rasmi telah dibuat oleh keluarga untuk siasatan semula dan saya telah memaklumkan perkara itu kepada Peguam Negara.
“Kes kini berada di peringkat siasatan dan laporan dijangka diperoleh dalam masa terdekat,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Syamsul Haris, 22, meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (PULADA).
Punca kematian yang dilaporkan akibat sawan bagaimanapun menimbulkan keraguan keluarga.
Semalam, ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menggesa bedah siasat kedua dijalankan dan bersedia kubur anaknya digali semula bagi mengetahui punca sebenar kematian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














