BERITA SEMASA

Kursus universiti terus dikemaskini penuhi pasaran kerja – Zambry

KOTA KINABALU – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berterusan memastikan kursus dan program akademik di universiti sentiasa dikaji semula, ditambah baik serta dikemaskini agar kekal relevan dengan keperluan pasaran kerja.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir berkata, langkah itu adalah jaminan bahawa graduan Malaysia bukan sahaja berdaya saing dari sudut pengetahuan dan kemahiran, tetapi turut mempunyai daya cipta serta kebijaksanaan dalam mengurus perubahan.

Katanya, KPT sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi merancang keperluan industri masa depan dan memastikan universiti awam serta swasta menawarkan kursus yang benar-benar memberi nilai.

“Bagi perancangan masa depan keperluan pasaran negara dalam industri tertentu, pihak kementerian sentiasa bekerjasama kerana kita mahu pastikan universiti awam atau swasta menawarkan kursus yang ada nilainya,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Zambry menghadiri Persidangan Memperkasa Kepimpinan 2.0: Kecerdasan Buatan: Era Baharu Kepimpinan anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di sini, hari ini.

Zambry berkata, kehadiran pemimpin muda, ahli akademik dan rakan industri menjadikan konferens berkenaan wadah penting untuk meneliti makna kepimpinan dalam dunia yang sedang berubah pantas dengan kecerdasan buatan (AI).

Katanya, kepimpinan pada era baharu bukan hanya bergantung kepada karisma dan pengalaman, sebaliknya memerlukan penguasaan teknologi, kemampuan beradaptasi serta kebolehan membina jaringan ilmu dan kerjasama.

Menurut Zambry, penganjuran konferens itu juga membuktikan hubungan erat universiti dengan industri telah lama terjalin dan menjadi nadi utama dalam membentuk pemimpin holistik yang memenuhi kehendak pasaran serta bersedia menghadapi cabaran global.

Beliau juga yakin wacana seumpama itu akan membuka ruang lebih luas tentang bagaimana AI dapat dimanfaatkan untuk memperkasa kepimpinan.

“AI bukan untuk menggantikan manusia, tetapi memperkukuh peranan manusia sebagai pemimpin yang mampu mengimbangi antara kehebatan teknologi dengan sifat kemanusiaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button