BERITA SEMASA

Dewan Negara lulus pindaan AUKU

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 telah diluluskan Dewan Negara pada hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir ketika menggulung perbahasan berkata, pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 itu hasil perbincangan dengan pelbagai pihak.

“Pindaan ini bukan dibuat secara sepihak, bukan hanya disyorkan pihak kerajaan tanpa membabitkan pihak-pihak lain khususnya dalam kalangan mahasiswa dan pelajar kita,” katanya pada sidang Dewan Negara, di sini hari ini.

Seramai 19 orang ahli telah mengambil bahagian dalam perbahasan berkenaan yang menyentuh topik-topik berkaitan jawatankuasa tatatertib pelajar, pengurusan kewangan persatuan dan tempoh pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Antara pindaan yang dibuat termasuk Seksyen 15A yang membenarkan MPP dan badan pelajar untuk memungut wang dan menerima sumbangan lain.

Selain itu, ia membabitkan Seksyen 16B iaitu memindahkan kuasa Pihak Berkuasa Tatatertib daripada Naib Canselor kepada Jawatankuasa Tatatertib Pelajar bagi pengurusan kes tatatertib di universiti.

Kata Zambry lagi, MPP dan badan pelajar dibenarkan untuk membuka akaun dengan mana-mana institusi kewangan berlesen yang diluluskan Bank Negara dan pengurusan kewangan akan diaudit individu atau firma bertauliah.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Dewan Negara yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan, menyumbang idea dan pandangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button