JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak lemas di kolam takungan keluar memancing sendirian

KULAI – Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan lemas di dalam sebuah kolam tadahan berhampiran Taman Sungai Mas, di sini semalam dipercayai keluar bersendirian untuk memancing.

Mangsa, Essikandar Putra Rohaizad dikatakan keluar dari rumah tanpa disedari kakaknya yang berusia 17 tahun ketika mereka tinggal berdua kerana ibu bapa bekerja.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asistan Komisioner Tan Seng Lee berkata, ibu bapa mangsa meninggalkan rumah pada pukul 6.30 pagi ketika kanak-kanak itu masih tidur bersama kakaknya.

Menurutnya, kira-kira pukul 10 pagi, ibu mangsa menerima maklumat daripada seorang kenalan bahawa anaknya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kolam tadahan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati rumah mangsa terletak kira-kira 50 meter dari kolam tadahan itu.

“Mangsa dipercayai pergi bersendirian ke kolam berkenaan untuk memancing berdasarkan penemuan sebatang joran di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa dibawa keluar dari kolam oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kulai sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kulai pada pukul 11.15 pagi.

BACA JUGA:
Kanak-kanak lelaki maut, terjatuh dalam kolam takungan ketika memancing

Tan Seng Lee berkata, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat lemas.

Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button