Konvoi 30 motosikal ke Ipoh erat silaturahim rakan sekerja Mars Snacking
SEREMBAN – Seramai 30 peserta menyertai Program Konvoi Motosikal ke Ipoh, Perak, baru-baru ini bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan rakan sekerja selain meluangkan masa menikmati makanan popular di bandar itu.
Wakil penganjur, Muhammad Rijal Mohamad Nor, 38, berkata, program tahunan itu disertai rakan sekerja daripada kumpulan Shift A di kilang Mars Snacking di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
Menurutnya, konvoi berkenaan bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan sesama rakan sekerja di luar persekitaran tempat kerja.
“Tujuan utama kami adalah untuk makan bersama-sama dan merapatkan silaturahim. Program ini memang menjadi aktiviti tahunan kami,” katanya yang merupakan juruteknik di kilang tersebut.
Konvoi itu membabitkan 28 peserta lelaki dan dua peserta wanita yang terdiri daripada kakitangan kilang berkenaan serta isteri peserta.
Peserta yang menunggang pelbagai jenis motosikal berkumpul di stesen minyak Petronas Tiara Sendayan pada pukul 8 pagi sebelum memulakan perjalanan secara berkonvoi pada pukul 8.30 pagi.

Mereka kemudian berhenti di Hentian Sungai Buloh untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke Ipoh dan tiba kira-kira pukul 1 tengah hari.
Setibanya di Ipoh, peserta menikmati hidangan nasi ayam claypot di Restoran Oppa Zuzu sebelum mengambil kesempatan bergambar di beberapa kawasan menarik sekitar bandar berkenaan.
Konvoi pulang ke Seremban bermula pada pukul 4 petang, namun perjalanan berdepan cabaran apabila hujan lebat melanda sepanjang perjalanan.
Bagaimanapun, Muhammad Rijal berkata, semua peserta mengutamakan keselamatan dengan menunggang secara perlahan dan berhati-hati ketika berhadapan keadaan cuaca berkenaan.
“Alhamdulillah, kami turut mengambil berat aspek keselamatan dengan menunggang secara berhemah agar orang ramai tidak memandang aktiviti konvoi sebegini sebagai tidak sihat.
“Semua peserta selamat tiba semula di Seremban kira-kira pukul 10 malam tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










