Pemuda cedera parah dalam kemalangan di Krabi stabil, dijangka dibawa pulang
BUKIT KAYU HITAM – Rakyat Malaysia yang cedera parah dan dirawat di Hospital Krabi, Thailand selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di negara jiran itu pada Rabu lalu dilaporkan berada dalam keadaan stabil serta dijangka dibawa pulang ke tanah air untuk rawatan lanjut.
Mangsa, Muhammad Hazim Rafiq Hussain, 21, kini menerima rawatan di hospital berkenaan selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori.
Abang mangsa, Muhammad Harith Rafie Hussain, 24, berkata, doktor memaklumkan keadaan adiknya stabil dan boleh dibawa pulang ke Malaysia.
“Alhamdulillah, keadaan adik saya kini stabil. Dia berada dalam keadaan separa sedar dan saya dapat melihat pergerakan pada tangan serta kakinya,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Menurut beliau, urusan membawa pulang adiknya memerlukan perkhidmatan ambulans daripada hospital swasta di Thailand bagi membawa mangsa dari Hospital Krabi ke sempadan.
Katanya, semua kos rawatan di hospital berkenaan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum proses membawa pulang dapat dilakukan.
“Setakat ini, kos rawatan sebenar masih belum dimuktamadkan, namun beberapa pihak telah tampil menghulurkan bantuan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang rakyat Malaysia berusia 21 tahun berada dalam keadaan koma selepas terlibat dalam kemalangan di Thailand pada Rabu lalu.
Dalam kejadian itu, Muhammad Hazim Rafiq mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan di kepala, paru-paru bocor serta retak pada tulang bahagian pinggang.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama lima rakannya berkonvoi motosikal ke Thailand pada Selasa lalu.
Susulan kejadian itu, keluarga mangsa yang berasal dari Pulau Pinang memohon sumbangan kewangan daripada orang ramai bagi menampung kos rawatan yang dilaporkan telah mencecah RM21,000 setakat 2 Januari lalu
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







