Arwah seorang anak manja, suka peluk dan bergurau – bapa kanak-kanak lemas di Lenggeng
REMBAU – Bapa kepada seorang kanak-kanak yang meninggal dunia akibat lemas di dalam kolam sebuah rumah kelab di Lenggeng semalam mengakui rindu keletah manja anaknya itu.
Noor Muhamad Asun, 46, berkata, pemergian anaknya, Nur Dhiya Azzalea itu meski pun baru sehari, sangat dirasai.
“Saya terasa sangat kehilangannya. Arwah seorang anak yang manja, suka peluk saya dan suka bergurau dengan saya di dapur.
“Tapi sekarang semua itu sudah tiada. Saya rasa sunyi sangat,” katanya memetik laporan Sinar Harian Online.
Noor Muhammad berkata demikian ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Rembau, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, ketika kejadian dia sedang bekerja dan hanya isteri serta dua anak mereka termasuk arwah berada di lokasi.
Dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah hari semalam, itu, Nur Dhiya Azzalea ditemui tidak sedarkan diri di dalam kolam ketika sedang mandi bersama rakan sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
Tragedi itu berlaku selepas berakhirnya majlis graduasi Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang dihadirinya di lokasi tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Tabika KEMAS terbabit, Habualwazie Bujang berkata, kejadian itu amat mengejutkan kerana berlaku secara drastik ketika barisan ahli jawatankuasa (AJK) sedang berkemas untuk pulang.
“Kejadian itu berlaku selepas berakhirnya majlis graduasi seramai 24 murid tabika kami dan aktiviti mandi bukan sebahagian daripada atur cara yang dianjurkan di rumah kelab tersebut.
“Waktu itu kebanyakan ibu bapa sudah pulang melainkan barisan AJK yang sedang berkemas di dewan manakala ada anak-anak sedang mandi di kolam sambil diawasi ahli keluarga masing-masing,” katanya.
Jenazah Nur Dhiya Azzalea selesai menjalani proses bedah siasat pada pukul 11.50 pagi sebelum dibawa ke Mantin untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8.
Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak maut dipercayai akibat lemas di dalam kolam renang selepas berakhirnya majlis graduasi di sebuah rumah kelab di Lenggeng.
Insiden itu disahkan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







