BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Keberanian ‘Acad’ selamatkan murid lemas dalam lubang kumbahan terima pujian ramai

LENGGENG – Tindakan berani seorang lelaki, Putra Arsymiera atau lebih dikenali sebagai Acad turun ke lubang kumbahan untuk menyelamatkan seorang murid yang terjatuh ke dalam saluran itu, semalam mendapat pujian orang ramai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin yang berada di lokasi kejadian ketika kejadian menceritakan detik-detik cemas itu dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

“Ketika saya sampai, Acad sudah pun berada di dalam lubang itu dengan berpaut pada sesuatu.

“Saya tanyakan kepadanya sama ada nampak apa-apa, namun katanya tiada.

“Lubang itu begitu sempit dan kakinya tidak mencecah dasar, menandakan ia sangat dalam,” katanya.

Beliau berkata, pada awalnya orang ramai masih keliru sama ada benar terdapat mangsa di dalam lubang tersebut sehinggalah topi dan kasut mangsa timbul di permukaan air.

Katanya, tanpa menghiraukan keselamatan diri, Acad kemudian menyelam ke dasar kumbahan untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

“Ketika itu, semua yang ada di tempat kejadian mula menjerit panik… Acad terus masuk menyelam ke dasar mencari anak yang lemas tanpa memikirkan keselamatanya,” katanya.

Dalam kejadian semalam, seorang murid berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas lemas di dalam saluran kumbahan sedalam kira-kira 2 meter.

Kejadian di kawasan sebuah sekolah itu berlaku semasa program kejohanan sukan olahraga yang dijadual dirasmikan oleh Mohd Asna.

Mangsa adalah anak kepada Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

budak lemas
Petugas kecemasan sedang memberikan bantuan awal kepada mangsa. – GAMBAR MEDIA SOSIAL

Asna menyifatkan tindakan Acap yang merupakan bekas kakitangan Utusan Melayu itu sebagai bukti semangat kemanusiaan dan keprihatinan luar biasa.

“Keberanian Acad wajar dihargai. Saya akan menyampaikan kisah ini kepada Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai pengiktirafan atas jasa beliau,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button