Misi GSF: PM guna saluran diplomatik untuk bebaskan rakyat Malaysia ditahan Israel
SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan komitmen penuh menggunakan rangkaian diplomatik dengan beberapa negara bagi membebaskan delegasi Malaysia yang ditahan tentera Israel dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Halim berkata, Perdana Menteri menghubunginya sekitar jam 9.38 pagi tadi untuk menyatakan perkara tersebut.
“Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Malaysia akan menggunakan semua saluran diplomatik bagi memastikan keselamatan serta pembebasan rakyat Malaysia yang kini ditahan.
“Beliau turut menyatakan kesediaan menghubungi rakan sejawatnya termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan kepimpinan Arab Saudi.
“Kita juga mohon beliau mewakili suara rakyat Malaysia melalui laluan diplomatik dan hubungan erat dengan negara besar lain termasuk United Kingdom serta Sepanyol,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sani Araby mengecam keras tindakan tentera Israel menahan flotila berkenaan walaupun ia sudah dijangka berlaku.
“Insiden ini jelas tidak berperikemanusiaan kerana mereka membawa bantuan kemanusiaan dan tidak melanggar sebarang undang-undang antarabangsa.
“Kami menegaskan misi ini bersifat kemanusiaan sepenuhnya tanpa sebarang unsur provokasi ketenteraan.
“Kami yakin semua delegasi Malaysia kini dalam keadaan baik berdasarkan maklumat yang diterima secara langsung daripada mereka,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








