POLITIK

Zarina calon berwibawa, mampu jadi suara rakyat Lenggeng – Siti Mariah

LENGGENG – Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr Siti Mariah Mahmud menyifatkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Lenggeng, Hajjah Zarina sebagai seorang calon yang berwibawa dan mempunyai kemampuan untuk menjadi wakil rakyat yang dekat dengan masyarakat.

Menurut beliau, pengalaman Zarina sebagai bekas jururawat merupakan satu kelebihan yang boleh membantu beliau memahami dan mendengar keluhan rakyat dengan lebih baik.

“Saya mempunyai keyakinan terhadap calon kita. Saya rasa beliau seorang yang berwibawa dan mampu berkhidmat dengan baik.

“Pengalaman beliau hampir sama seperti saya. Kami pernah bekerja di hospital dan saya tahu itu satu kelebihan tambahan kerana doktor dan jururawat mempunyai kesabaran untuk mendengar aduan serta memahami masalah masyarakat,” katanya kepada Malaysia Tribune selepas menghadiri program Kenduri Rakyat dan ceramah kempen DUN Lenggeng hari ini.

Mengulas mengenai pencalonan wanita dalam pilihan raya negeri kali ini, Siti Mariah mengakui masih belum berpuas hati dengan jumlah calon wanita yang diketengahkan parti.

“Hanya seorang wanita dicalonkan Amanah daripada sembilan kerusi DUN yang ditandingi parti itu di Negeri Sembilan.

“Saya memang sering kecewa dengan jumlah calon wanita yang diketengahkan. Banyak cadangan datang dari peringkat kawasan dan negeri sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi.

“Kadang-kadang persepsi terhadap calon wanita berbeza berbanding calon lelaki. Wanita sering ditanya pelbagai perkara sebelum diberi peluang bertanding sedangkan lelaki tidak berdepan situasi yang sama,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun percaya penyelesaian kepada isu itu adalah dengan menggalakkan lebih ramai wanita tampil aktif dan menyerlah dalam bidang masing-masing supaya lebih ramai calon wanita dapat diketengahkan pada masa depan.

Dalam perkembangan lain, Siti Mariah berpandangan isu perkauman sering dimainkan oleh segelintir ahli politik walaupun masyarakat di peringkat akar umbi hidup dalam keadaan harmoni.

“Di peringkat rakyat biasa, orang Melayu, Cina dan kaum lain tidak mempunyai masalah besar antara satu sama lain. Tetapi apabila isu ini dibangkitkan dan diprovokasi oleh ahli politik, ia boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya lagi.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya kerajaan PH menggadaikan tanah rizab Melayu, sebaliknya menjelaskan sebarang urusan berkaitan tanah tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan prosedur yang ditetapkan.

“Tanah rizab Melayu yang telah diwartakan tidak boleh sewenang-wenangnya dilupuskan. Jika ada keperluan tertentu, ia perlu diganti mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau menyeru pengundi Lenggeng memberi sokongan kepada PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi memastikan kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Saya berharap pengundi terus menyokong Pakatan Harapan supaya Datuk Seri Aminuddin Harun dapat meneruskan kepimpinan beliau sebagai Menteri Besar.

“Pada masa sama, saya berharap Hajjah Zarina diberikan peluang untuk berkhidmat. Beliau seorang yang bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat dan kami yang lebih berpengalaman akan terus membimbing beliau menjadi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang berwibawa,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button