PH tegas tolak retorik ‘penyatuan ummah’, utamakan kesatuan rakyat
SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa masa depan Malaysia perlu dibina berasaskan kesatuan rakyat dan bukannya retorik politik yang bersandarkan konsep ‘penyatuan ummah’ semata-mata.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sejarah politik negara membuktikan beberapa percubaan penyatuan politik antara PAS dan UMNO sebelum ini tidak mencapai matlamat yang diharapkan.
Menurut beliau, usaha seumpama itu pernah berlaku pada tahun 1972 apabila PAS menyertai Barisan Nasional (BN), selain selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan PRU 2018.
“Ketiga-tiga episod tersebut gagal dan akan gagal sekali lagi kerana ia tidak dibina atas prinsip yang kukuh, sebaliknya didorong kepentingan politik tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amirudin turut mempersoalkan dakwaan bahawa penyatuan politik Melayu-Islam mampu menyelesaikan segala masalah rakyat dan memacu kemajuan ekonomi negeri-negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, jika formula tersebut benar-benar berjaya, negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sepatutnya sudah mencapai tahap pembangunan dan pendapatan yang jauh lebih tinggi.
Sebaliknya, katanya, ramai rakyat dari negeri-negeri berkenaan masih memilih untuk mencari peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik di negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Amirudin mengingatkan BN supaya berhati-hati dengan usaha PN yang didakwa mahu mendominasi gabungan tersebut.
“Tanda-tanda ke arah itu sudah kelihatan apabila timbul ungkapan ‘Perikatan Barisan Nasional’ yang menggambarkan hasrat PN untuk menguasai BN,” katanya lagi.
Beliau berkata, PH pula telah membuktikan keupayaan mentadbir melalui kerjasama berasaskan kepercayaan, nilai dan komitmen terhadap kebajikan rakyat.
Menurutnya, pencapaian PH dapat dilihat menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan di negeri-negeri pentadbirannya serta di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Golongan memerlukan menerima bantuan bagi menangani kos sara hidup, peluang pendidikan dan pekerjaan berkualiti terus diperluaskan, rumah mampu milik dibangunkan dan kebajikan warga emas terus dipelihara.
“Islam terus berkembang subur manakala penganut agama lain dapat mengamalkan kepercayaan masing-masing dalam suasana aman dan harmoni,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, PH akan terus berpegang kepada prinsip Kesatuan Rakyat yang selaras dengan Rukun Negara dalam usaha membina Malaysia yang makmur, stabil dan berwawasan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















