Kerajaan negeri perketat operasi penternakan babi demi keselamatan, alam sekitar – Amirudin
SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu keselamatan dan pengurusan penternakan babi di daerah Kuala Langat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu tersebut telah lama dibincangkan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini telah membuat keputusan supaya syarat pengoperasian industri penternakan babi di negeri itu diperketatkan, khususnya melibatkan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab bagi mengelakkan kesan negatif terhadap sistem saliran dan alam sekitar.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk pandangan agensi teknikal berkaitan bagi menoktahkan isu yang berlarutan sejak lebih sedekad lalu.
“Langkah ini bukan sahaja mengambil kira sensitiviti masyarakat, malah amat penting bagi memelihara kesihatan komuniti, kelestarian alam sekitar dan sistem saliran, serta mengelakkan pencemaran bau.
“Ia bertujuan memastikan industri ini dapat beroperasi dengan lebih selamat tanpa memberi kesan sampingan kepada penduduk sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sebelum ini, Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Datuk Izham Hashim menjelaskan bahawa pendekatan yang diambil kerajaan negeri adalah lebih tersusun dan berhemah bagi menangani isu sensitif itu secara menyeluruh dan berkesan, termasuk memperketat kawalan ke arah penyelesaian jangka sederhana dan panjang.
Sehubungan itu katanya, Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor dijadual menghadap Sultan Selangor pada Isnin ini bagi menyembah maklum serta membentangkan perincian keputusan MMKN.
Katanya, ia termasuk langkah proaktif yang akan dilaksanakan oleh agensi-agensi penguatkuasaan untuk memperkukuh aspek keselamatan dan kebersihan persekitaran tanpa sebarang kompromi.
“Kerajaan negeri menzahirkan penghargaan tinggi atas kecaknaan, nasihat serta pedoman tuanku sultan, di samping mendoakan baginda terus dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan untuk membimbing serta menaungi negeri ini dengan penuh hikmah,” katanya.
Terdahulu Sultan Selangor dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Sultan Sharafuddin memandang serius keputusan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat mulai tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







