RMK-13 angkat martabat rakyat, Selangor sedia laksana perancangan strategik negara – MB
SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik kerangka Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini yang disifatkan sebagai agenda penting dalam usaha melakar semula pembangunan dan mengangkat martabat rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, RMK-13 yang memerlukan pelaburan kolektif sebanyak RM611 bilion melibatkan kerajaan, GLIC dan sektor swasta akan menjadi pemacu utama kepada pelan sosioekonomi negara.
“Komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap industri strategik seperti semikonduktor termasuk kerjasama dengan ARM Holdings bakal membuka peluang besar kepada syarikat tempatan untuk memiliki hak harta intelek serta beralih kepada proses bernilai tinggi.
“Ini bukan sahaja menjadikan Malaysia lebih berdaya saing malah turut memberi manfaat langsung kepada ekosistem industri di Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, peruntukan RM67 bilion dalam sektor pendidikan juga diyakini akan memberi impak positif kepada kawasan berpenduduk padat melalui pembinaan sekolah berkonsep vertikal dan penaiktarafan kemudahan pendidikan.
Mengulas perancangan pembangunan di negeri itu, Amirudin menyambut baik pengumuman projek Pelabuhan Carey yang disifatkan penting bagi menampung keperluan kontena di Pelabuhan Klang.
“Kerajaan Negeri sedia bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan usaha ini disegerakan dan Malaysia muncul sebagai hab transshipment utama di rantau Asia,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan komitmen Persekutuan dalam menawarkan 1.2 juta peluang pekerjaan, khususnya dalam bidang pembuatan berteknologi tinggi dan ekonomi digital yang dijangka memberi kelebihan kepada graduan di Selangor.
“Pembiayaan TVET seperti Perkasa TVET Madani dan Dana Latihan TVET harus dijadikan pilihan utama golongan muda, bukan sekadar jalan terakhir.
“Namun pelaksanaannya perlu berfokus kepada 21 industri utama selaras NIMP2030 dengan kerjasama langsung sektor swasta, bagi mengelakkan pertindihan,” ujarnya.
Dalam aspek kelestarian, katanya, RMK-13 yang menyentuh Rang Undang-undang Perubahan Iklim Negara serta sasaran 35 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2030 merupakan satu langkah progresif.
“Teknologi waste-to-energy (WTE) yang diiktiraf dalam RMK-13 turut memberi dorongan kepada Selangor untuk terus meneroka alternatif pelupusan sisa pepejal yang lebih mampan,” katanya.
Menurut beliau lagi, pengumuman projek tebatan banjir Sungai Langat dan Sungai Buloh turut dialu-alukan malah beliau menegaskan agar proses tender dan pra-kelayakan diperkukuhkan seperti disarankan Ketua Audit Negara.
Dalam usaha menangani kos sara hidup, beliau menyambut baik kesinambungan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA, serta hasrat membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 2026 hingga 2035.
“Ini merupakan langkah besar bagi membantu generasi muda di kawasan bandar dan pinggir bandar memiliki kediaman sendiri,” ujarnya.
Mengakhiri kenyataan, beliau menyambut baik inisiatif keterjaminan makanan khususnya strategi penanaman padi lima musim dalam dua tahun seperti yang telah berjaya dilaksanakan di Sekinchan.
“Insha-Allah, saya akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RMK-13 minggu hadapan bagi menyampaikan pandangan dan cadangan khusus demi kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








