BERITA SEMASA

Kemasukan Tahun 1: JAIS pertimbang laksana 3 sesi persekolahan berbanding 2 tahun hadapan

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang merangka pelbagai langkah persediaan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan dasar kemasukan murid Tahun Satu seawal usia enam tahun bermula sesi persekolahan 2027.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, antara langkah yang dicadangkan termasuk mengoptimumkan penggunaan bilik darjah dengan kapasiti sehingga 45 murid bagi setiap kelas, selain penyelarasan data murid bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi mengenal pasti kawasan berpenduduk padat.

“Kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada keperluan penambahan tenaga pengajar serta mempertimbangkan pelaksanaan tiga sesi persekolahan berbanding dua sesi ketika ini, tertakluk kepada kesesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sesi pertanyaan-pertanyaan lisan daripada Noor Najhan Mohamad Salleh (PN-Sementa) hari ini.

Dalam masa sama katanya, usaha menambah baik infrastruktur pendidikan turut dirancang termasuk pembinaan bilik darjah tambahan bagi menampung pertambahan jumlah murid.

Mengulas cabaran semasa katanya, kerajaan negeri menjangkakan jumlah permohonan kemasukan ke Tahun Satu bagi tahun 2027 mencecah hampir 80,000, sekali gus menimbulkan kekurangan kira-kira 880 orang guru.

Bagaimanapun katanya, usaha penambahan tenaga pengajar akan terus dilaksanakan bergantung kepada kedudukan kewangan semasa negeri.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa semua bangunan sekolah di bawah seliaan JAIS berada dalam keadaan selamat dan sesuai digunakan.

Katanya, pemantauan berkala terus dilakukan dan bantuan baik pulih akan disalurkan sekiranya diperlukan oleh pihak sekolah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button