Mangsa kebakaran saluran gas bakal terima bantuan 100 rumah sementara dari LPHS
SUBANG JAYA – Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah menawarkan lebih 100 unit rumah di Kota Warisan, Sepang untuk kegunaan sementara mangsa kebakaran saluran paip gas Petronas di Putra Heights, di sini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jika semuanya berjalan lancar, mangsa boleh berpindah ke unit-unit tersebut dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

“Inisiatif ini merupakan satu program Smart Sewa negeri serta menerusi tawaran daripada Airbnb.
“Saya akan bertemu dengan pihak Petronas hari ini untuk berbincang mengenai penempatan sementara.
“Saya akan umumkan lebih lanjut selepas memuktamadkan perjanjian ini dan ia akan dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa yang seterusnya,” kata beliau pada sidang media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Putra Heights.
Tambah Amirudin, kerajaan negeri akan berusaha memberi bantuan sewajarnya buat mangsa.
“Kita mahu mengurangkan beban mangsa yang kini berlindung di pusat pemindahan sementara.
“Bagi program Smart Sewa, kita akan cuba membiayainya melalui sumbangan yang diterima serta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.
Menurut beliau, daripada 115 rumah yang disahkan selamat oleh pihak berkuasa, 85 daripadanya telah dibenarkan pulang semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








