BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kerajaan Selangor salur bantuan awal RM500 kepada 750 keluarga terkesan banjir

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan menyalurkan bantuan awal kepada mangsa-mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berjumlah RM500, merangkumi 750 keluarga yang disahkan berdaftar di daerah yang terkesan akibat banjir di Selangor.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, perkara itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini.

“MMKN mengadakan Mesyuarat Khas susulan daripada kejadian banjir yang melanda di lima Daerah; Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling, dan Klang.

“Sehingga jam 11:30 pagi ini, seramai 2,784 mangsa ditempatkan di 21 PPS di lima daerah berkenaan.

“Daripada jumlah mangsa ini, seramai 221 adalah pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

“Pada masa sama, bagi memudahkan urusan pergi dan pulang ke pusat peperiksaan masing-masing, Pejabat-pejabat Daerah akan mengadakan pengangkutan percuma dari PPS ke sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, Yayasan MBI juga akan menyalurkan bantuan segera kepada pelajar-pelajar ini yang kehilangan peralatan menulis dan digital akibat banjir agar urusan peperiksaan mereka dapat diteruskan dengan lebih selesa.

“Saya juga mengarahkan supaya usaha tebatan banjir di beberapa kawasan tumpuan dipercepatkan, dan usaha ini akan dipantau dan diperincikan petang ini oleh EXCO Infrastruktur, Datuk Izham Hashim.

“Di saat yang mencabar ini, saya mendoakan Allah SWT melindungi keselamatan seluruh rakyat negeri Selangor, terutamanya mereka yang berada ketika ini di PPS.

“Saya turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan petugas di seluruh negeri dan daerah yang bertungkus-lumus menyalurkan bantuan segera kepada rakyat,” katanya.

Situasi banjir di Selangor menunjukkan peningkatan ketara apabila jumlah mangsa meningkat hampir lima kali ganda dalam tempoh beberapa jam, disertai penutupan jalan serta gangguan utiliti di beberapa kawasan sejak awal pagi tadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button