Anwar kenang jasa pemandu teksi bantu perjuangan Reformasi 1998
PUTRAJAYA – Jasa pemandu teksi yang membantu perjuangan reformasi pada 1998 ketika ramai pihak memilih untuk menjauh terus terpahat dalam ingatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, sumbangan dan ketulusan golongan itu menjadi antara perkara yang dikenangnya sehingga hari ini, sekali gus mendorong kerajaan menghargai peranan mereka dalam masyarakat.
“Saya turut mengimbau kenangan sewaktu saya melalui detik-detik paling getir dalam perjuangan reformasi pada tahun 1998. Ketika ramai memilih untuk menjauh, sebahagian pemandu teksi tampil membantu tanpa mengharapkan sebarang balasan. Jasa dan ketulusan mereka kekal terpahat dalam ingatan saya hingga ke hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan di Facebook selepas menghadiri majlis peluncuran Bantuan Khas Kewangan RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di sini, hari ini.
Anwar berkata, bantuan itu merupakan ikhtiar Kerajaan MADANI untuk meringankan beban golongan berkenaan yang sekian lama berdepan pelbagai cabaran, termasuk persaingan industri dan tekanan kos sara hidup.
Menurutnya, setiap hasil yang dijana negara perlu dikembalikan kepada rakyat bagi memastikan mereka turut menikmati manfaat daripada kemakmuran negara.
Katanya, ketika kedudukan kewangan negara semakin mengukuh, kerajaan bertanggungjawab memastikan manfaat pertumbuhan itu turut dirasai golongan pekerja yang selama ini menyumbang kepada kekuatan ekonomi negara.
“Justeru, prinsip inilah yang akan terus mendasari perjuangan Kerajaan MADANI, yakni menghargai setiap sumbangan, membela yang memerlukan dan memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam arus pembangunan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








