BERITA SEMASA

Misi Hayat Syam santuni 5,100 pelarian, golongan memerlukan di Syria, Lubnan

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 5,100 individu termasuk anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal serta anak-anak para syuhada dijangka menerima manfaat menerusi Misi Hayat Syam yang dilaksanakan Global Hayat di Syria dan Lubnan.

Misi yang berlangsung dari 3 hingga 13 September itu dilaksanakan Global Hayat dengan penyertaan sukarelawan Malaysia dari United Kingdom (UK) di bawah kempen Haqq Initiative.

Dalam satu kenyataan, Global Hayat memaklumkan, misi berkenaan bertujuan menyalurkan sokongan moral dan bantuan fizikal kepada rakyat Syria yang sedang bergelut membina semula kehidupan pasca kemerdekaan, selain menyantuni pelarian Palestin di Lubnan.

“Misi itu disertai empat wakil rasmi Global Hayat dan lapan sukarelawan UK dengan agihan bantuan disasarkan ke sembilan lokasi termasuk di
di Syria yang melibatkan tiga lokasi iaitu kem Yarmouk, Asali dan Homs.

“Enam lokasi lain membabitkan kem pelarian di Lubnan iaitu El Buss, Burj Shemali, Rashidieh, Burj Barajneh, Shatila dan Ein El Hilwah,” menurut kenyataan itu.

misi hayat
Antara set pendidikan serta beg sekolah yang disediakan untuk diagihkan kepada kanak-kanak menerusi Misi Hayat Syam di Syria dan Lubnan.

Menurut Global Hayat lagi, selepas bertahun-tahun berdepan krisis dan peperangan, rakyat Syria kini sedang cuba bangkit semula untuk membina kehidupan baharu, namun akses kepada keperluan asas kekal menjadi cabaran besar.

Situasi sama katanya, turut dihadapi pelarian Palestin di Lubnan yang terpaksa berdepan pelbagai kesukaran demi kelangsungan hidup.

“Sepanjang misi itu, Global Hayat dan Haqq Initiative menyampaikan amanah penyumbang yang memfokuskan kepada keperluan asas dan pendidikan.

“Antara bantuan yang disalurkan ialah 600 kotak makanan, makanan panas, 600 set pendidikan serta 200 beg sekolah dan kelengkapan Back to School,” katanya.

misi hayat
Sukarelawan Global Hayat dan Haqq Initiative menyantuni anak yatim Syria dan Palestin menerusi jamuan khas dalam Misi Hayat Syam.

Misi berkenaan turut merangkumi jamuan khas bersama 200 anak yatim Syria dan Palestin serta sesi ziarah bagi menyantuni 20 anak yatim di bawah tajaan Global Hayat

Ketua Misi Hayat Syam, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, kehadiran misi berkenaan membuktikan bahawa golongan pelarian terbabit tidak dilupakan.

“Kehadiran kami ini bukan sekadar membawa bantuan, tetapi sebagai mesej kepedulian dan kebersamaan kita dalam perjuangan membebaskan bumi Syam yang diberkati,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Global Hayat berkata, misi berkenaan bukan sekadar penghantaran bantuan fizikal, sebaliknya membawa mesej kepedulian dan solidariti rakyat Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button