LUAR NEGARA

Bekas pegawai rejim Bashar al-Assad ditahan, didakwa terbabit program senjata kimia Syria

DAMSYIK – Pihak berkuasa Syria menahan seorang bekas pegawai tentera yang didakwa memainkan peranan penting dalam program senjata kimia ketika pemerintahan bekas Presiden Bashar al-Assad, lapor Al Jazeera.

Kementerian Dalam Negeri Syria dalam satu kenyataan pada Rabu mengenal pasti suspek sebagai bekas kolonel, Ahmed Habib Ali yang disifatkan sebagai pakar senjata kimia di bawah rejim al-Assad.

Menurut kementerian itu, Ahmed bertanggungjawab mengendalikan kemudahan penyimpanan gas sarin serta pengeluaran bahan kimia di Unit 417, sebuah fasiliti senjata kimia berhampiran Damsyik.

Dia juga didakwa antara pegawai yang menyelia pembuatan kira-kira 20 bom mengandungi gas sarin seberat 250 kilogram setiap satu yang digunakan dalam beberapa serangan ke atas bandar dan pekan di Syria pada 2013 dan 2017.

Penahanan Ahmed dibuat hanya seminggu selepas Syria diterima semula sebagai anggota Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW).

Pada 2021, OPCW menggantung hak mengundi Syria selepas siasatan mendapati tentera udara negara itu menggunakan gas sarin dan klorin terhadap orang awam.

Serangan paling dahsyat dilaporkan berlaku pada Ogos 2013 apabila tentera Syria didakwa melancarkan serangan gas ke atas kawasan yang dikuasai pemberontak, mengorbankan lebih 1,400 lelaki, wanita dan kanak-kanak, menurut agensi perisikan Amerika Syarikat serta pertubuhan hak asasi manusia.

Ketika perang saudara memuncak dan berdepan ancaman serangan tentera Amerika Syarikat, kerajaan al-Assad bersetuju menyerahkan simpanan senjata kimianya.

Bagaimanapun, Damsyik kemudian terus berdepan tuduhan melancarkan sekurang-kurangnya empat lagi serangan menggunakan gas sarin dan klorin terhadap kawasan yang dikuasai kumpulan pembangkang antara 2014 hingga 2017.

Penahanan Ahmed merupakan sebahagian daripada tindakan lebih meluas kerajaan baharu Syria terhadap bekas pegawai era al-Assad.

Pada April lalu, badan kehakiman Syria memulakan perbicaraan terbuka terhadap beberapa bekas pegawai kerajaan yang berdepan pertuduhan termasuk jenayah perang berkaitan kebangkitan rakyat pada 2011 serta tindakan keras terhadap penunjuk perasaan.

Sejak kejatuhan pemerintahan Bashar al-Assad pada Disember 2024, puluhan individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung pelbagai jenayah yang didakwa berlaku sepanjang perang saudara Syria yang berlarutan selama 13 tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button