AS, Israel dan Syria setuju keluarkan bahan nuklear dari tapak rahsia
DAMSYIK – Amerika Syarikat (AS), Israel dan Syria dilaporkan mencapai persetujuan untuk mengeluarkan bahan nuklear dari sebuah tapak rahsia di Syria dalam usaha mengelakkan risiko keselamatan serta pencemaran radioaktif.
Menurut laporan Axios, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) akan diberikan akses ke tapak yang dikenali sebagai Tapak 99 bagi mengeluarkan bahan dipercayai sisa daripada reaktor Al-Kibar milik Syria yang dimusnahkan Israel pada 2007.
“Tapak berkenaan dipercayai menyimpan ‘yellowcake’ iaitu serbuk uranium pekat yang boleh diproses menjadi bahan api nuklear.
“Walaupun bahan tersebut tidak boleh digunakan secara terus untuk menghasilkan senjata nuklear ia berpotensi digunakan dalam menghasilkan bom kotor yang menggabungkan bahan radioaktif dengan bahan letupan konvensional untuk menyebarkan pencemaran,” lapor Axios.
Israel sebelum ini dilaporkan menyerang pintu masuk ke tapak tersebut tidak lama selepas kumpulan pejuang Islam yang disokong AS menawan Damsyik pada Disember 2024, sekali gus menumbangkan kerajaan Presiden Bashar Al-Assad.
Perkembangan itu berlaku ketika Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, berusaha memperbaiki hubungan dengan negara Barat serta mendapatkan bantuan asing bagi membangunkan semula Syria yang dilanda perang saudara sejak 2011.
Ahmed yang pernah menjadi komander kumpulan jihad dan sebelum ini dikehendaki AS, turut mendedahkan bulan lalu bahawa Damsyik sedang berunding dengan Israel mengenai perjanjian keselamatan.
Israel sejak 2024 menduduki sebahagian kawasan barat daya Syria dan memperluaskan kehadirannya di luar kawasan Bukit Golan yang dikuasainya sejak 1967.
Dalam pada itu, kerajaan Ahmed turut mengambil langkah memperbaiki hubungan dengan Rusia yang sebelum ini menjadi penyokong utama kerajaan Bashar.
Awal bulan ini, Moscow dan Damsyik dilaporkan bersetuju menyusun semula pangkalan udara Khmeimim serta kemudahan tentera laut Rusia di Tartous sebagai pusat latihan bersama.
Perjanjian itu membolehkan Rusia mengekalkan kehadiran ketenteraannya di Syria walaupun selepas kejatuhan kerajaan Bashar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








