Warga emas hilang selepas kereta terjunam ke sungai
SUNGAI PETANI – Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas kereta Proton Wira yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jalan Lubuk Segintah–Lubuk Kawah, awal pagi ini.
Mangsa, Mat Yusof Hashim, 77, yang berasal dari Jalan Masjid FELDA Teloi Timur, masih belum ditemukan setakat ini dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan oleh pasukan bomba.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, Pejabat Pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 1 pagi memaklumkan sebuah kereta terbabas ke dalam sungai di lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa sedang memandu dari arah Jalan Kuala Ketil menuju ke FELDA Teloi Timur sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam sungai.
“Pada awalnya mangsa dipercayai tenggelam bersama kenderaan terbabit. Namun selepas kereta itu berjaya dinaikkan ke darat menggunakan kren, pemeriksaan mendapati pemandunya tiada di dalam kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi SAR diteruskan di kawasan sekitar sungai bagi mengesan mangsa, manakala kenderaan terbabit telah dihantar ke Balai Trafik Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini status mangsa masih belum diketahui dan usaha mengesannya sedang diteruskan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








