Malaysia buru emas ke-10, cipta sejarah Sukan Asia
NAGOYA – Kontinjen Malaysia berpeluang mencipta sejarah baharu apabila memburu pingat emas ke-10 pada hari terakhir penuh pertandingan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini.
Jika berjaya dicapai, ia akan menjadi pencapaian terbaik negara dalam sejarah penyertaan di temasya sukan terbesar Asia itu.
Tumpuan utama terarah kepada skuad hoki lelaki negara yang bakal berdepan India dalam aksi final di Stadium Gifu bagi merebut pingat emas yang menjadi idaman Malaysia sejak sekian lama.
Selain hoki, harapan turut disandarkan kepada gandingan padel negara, Christian Didier Chin dan Aidan Yunus yang mara ke final acara beregu lelaki menentang pasangan Qatar, Naif Mashari dan Naif Rashed.
Dalam acara taekwondo kyorugi, Syafiq Zuber memulakan cabaran dalam kategori lebih 80 kilogram lelaki dengan aksi pusingan 16 menentang wakil Taiwan, Huang Yu-Jen.
Sementara itu, acara pelayaran turut menyaksikan beberapa atlet negara meneruskan saingan termasuk Aiman Aqeel Mohd Firdaus dalam kategori dinghy lelaki, Nur Hafizanah Zailan (dinghy wanita) serta pasangan Danyal Marczqui Rahmat Haron Muzaffa dan Nur Aina Norhazram dalam acara dinghy campuran remaja.
Pasukan ragbi tujuh sebelah wanita pula akan berdepan Kazakhstan, manakala skuad lelaki menentang Emiriah Arab Bersatu bagi penentuan kedudukan kelima hingga kelapan.
Dalam acara ekuestrian, Shoorendran Nageswaran akan membawa cabaran negara dalam disiplin jumping.
Malaysia kini mengumpul sembilan pingat emas hasil kejayaan atlet dalam beberapa acara termasuk keirin lelaki menerusi Datuk Mohd Azizulhasni Awang serta skuasy berpasukan lelaki dan wanita.
Kejayaan meraih sekurang-kurangnya satu lagi emas hari ini bakal meletakkan kontinjen negara dalam rekod baharu penyertaan Malaysia di Sukan Asia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








