Selepas puluhan tahun, kerajaan MADANI berjaya merdekakan negara dari kartel barangan keperluan – PM
SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan MADANI komited memerdekakan negara daripada penyelewengan dan rasuah, termasuk berjaya memecahkan kartel barangan keperluan yang telah menguasai pasaran sejak puluhan tahun.
Anwar berkata, meskipun masih banyak cabaran yang perlu ditangani, kerajaan tidak akan berundur dalam usaha melawan pihak yang menyeleweng serta mengaut keuntungan haram daripada rakyat.
“Kerajaan MADANI memecahkan tembok kartel dan kita terus berperang. Saya panggil penguat kuasa dan arahkan, lawan mereka. Kita tidak tolak ansur dengan kumpulan yang khianat dan merosakkan negara ini.
“Kartel ayam kita pecahkan selepas puluhan tahun. Ini hasil tekad politik dan kerjasama erat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta semua pihak penguat kuasa,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini.
Menurut beliau, isu yang dekat dengan rakyat seperti pendidikan, kesihatan dan harga barang sentiasa menjadi agenda utama perbincangan Jemaah Menteri.
“Apakah sudah sempurna? Tidak. Apakah sudah mampu kita hentikan penyeludupan? Belum. Namun semangat kemerdekaan ini bermakna tekad kita untuk membebaskan negara daripada segala bentuk kecurangan, rasuah dan kegiatan haram,” katanya lagi.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








