BERITA SEMASA

Pegawai tentera ditahan, TDM sahkan stor senjata selamat

KUALA LUMPUR – Tentera Darat (TDM) menyerahkan kepada pihak berkuasa siasatan berhubung penahanan seorang pegawai tentera yang ditemukan bersama sepucuk senjata api, sejumlah peluru dan cecair disyaki bahan terlarang di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), pada 28 September lalu.

TDM berkata, pegawai berkenaan kini berada dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.

“Saringan awal air kencing mendapati pegawai tersebut positif Mitragynine. Walau bagaimanapun, perkara tersebut masih tertakluk kepada pengesahan lanjut melalui analisis makmal dan hasil siasatan pihak berkuasa,” menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Strategik (CKS), Markas Tentera Darat semalam.

Dalam pada itu, TDM mengambil langkah segera dengan melaksanakan pemeriksaan terhadap kesemua stor senjata dan stor peluru sejurus menerima maklumat berhubung kejadian tersebut.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua senjata dan peluru adalah lengkap dan mencukupi, selain tiada sebarang kehilangan direkodkan.

“TDM memandang serius sebarang perkara yang melibatkan anggota dan pegawai tentera serta sentiasa menitikberatkan aspek disiplin, keselamatan dan pematuhan kepada peraturan.

“TDM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan berdasarkan hasil siasatan yang telah disahkan,” katanya lagi.

TDM pada masa sama menegaskan sebarang kesimpulan berkaitan kejadian itu hendaklah dibuat berdasarkan fakta dan hasil siasatan pihak berkuasa, bukannya maklumat yang belum disahkan.

Sehubungan itu, TDM menyeru semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mengelirukan orang awam atau menjejaskan proses siasatan.

Sebarang perkembangan lanjut mengenai kejadian berkenaan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi TDM pada masa yang bersesuaian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button