Meta akui kesilapan teknikal, akaun WhatsApp sah dipulihkan
CYBERJAYA – Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistem WhatsApp sehingga aktiviti pengguna yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan, sekali gus menyebabkan sebahagian akaun digantung.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, perkara itu dimaklumkan Meta susulan isu penggantungan akaun WhatsApp yang sebelum ini dikemukakan kepada syarikat berkenaan.
Menurut MCMC, kesilapan teknikal dikenal pasti dalam lebih separuh daripada kes bagi kumpulan pertama yang dikemukakan kepada Meta.
“Kesilapan teknikal tersebut telah ditangani pada penghujung September dan akaun sah yang terjejas telah dipulihkan secara proaktif, termasuk sebahagian akaun yang belum mengemukakan rayuan.
“Meta turut mengesahkan bahawa tiada perubahan dibuat terhadap dasar penguatkuasaan atau Terma Perkhidmatan WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Meta menjelaskan penggantungan akaun bagi kes lain turut mengambil kira beberapa faktor, termasuk nombor telefon kitar semula yang pernah dikaitkan dengan akaun disekat, aktiviti spam atau penipuan serta corak penggunaan yang dikesan sistem keselamatan WhatsApp.
MCMC berkata, laporan pengguna pula merupakan salah satu faktor yang dinilai dan bukan satu-satunya asas bagi tindakan penggantungan akaun.
Bagi akaun perniagaan, Meta memaklumkan penghantaran mesej tanpa persetujuan atau dalam jumlah tinggi, khususnya kepada penerima yang bukan dalam senarai kenalan, boleh dikesan sebagai aktiviti spam.
“Pengguna perniagaan disaran mendapatkan persetujuan penerima sebelum menghantar mesej secara pukal,” katanya lagi.
MCMC turut meminta Meta menambah baik proses rayuan dan pemulihan supaya pengguna terjejas menerima pengesahan, maklumat status semakan serta tindakan yang lebih jelas dan pantas.
Pengguna yang terjejas disaran menggunakan saluran rayuan dan sokongan rasmi WhatsApp.
Pada masa sama, MCMC akan terus memantau penyelesaian kes yang masih tertunggak serta memastikan penambahbaikan dilaksanakan bagi memudahkan pengguna mendapatkan semula akaun mereka.
“Tindakan kawal selia selanjutnya akan dipertimbangkan sekiranya langkah Meta didapati tidak memadai,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








