Buat hantaran perkauman, MCMC ambil keterangan ADUN PAS
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri berhubung penyebaran hantaran palsu berunsur perkauman di media sosial.
Menurut MCMC, hantaran tersebut adalah
mengenai insiden seorang wanita menaiki pentas pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh, baru-baru ini.
Jelas MCMC, hantaran yang dibuat oleh wakil rakyat PAS itu mendakwa tindakan itu dilakukan seorang perempuan berbangsa Cina, sedangkan perkara itu telah disahkan tidak benar oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Dakwaan berkenaan turut berpotensi menimbulkan ketegangan kaum serta mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, siasatan lanjut dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam, termasuk sesi rakaman keterangan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, MCMC menegaskan penyebaran kandungan palsu berunsur perkauman merupakan perbuatan serius yang boleh menggugat keharmonian serta ketenteraman awam.
“MCMC mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








