Kaji selidik perkhidmatan pos: MCMC buka peluang rakyat beri pandangan
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini melaksanakan Kaji Selidik Penggunaan Perkhidmatan Pos di seluruh negara sebagai usaha menambah baik mutu perkhidmatan pos dan kurier.
MCMC berkata, kaji selidik itu dibuka sehingga 23 Mei ini dan merupakan sebahagian daripada Kajian Dasar Strategik Sektor Pos.
“Kaji selidik ini bertujuan mendapatkan maklum balas daripada orang ramai mengenai keberkesanan inisiatif yang telah dilaksanakan serta menyokong cadangan pindaan terhadap Akta Perkhidmatan Pos 2012 (APP 2012) yang sedang dikaji untuk pertimbangan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut suruhanjaya itu, pindaan berkenaan penting bagi memastikan perkhidmatan pos dan kurier di negara ini kekal sebagai titik sentuh strategik kepada rakyat menerusi pendekatan pembangunan serta kawal selia yang holistik dan inklusif.
Jelas MCMC, pindaan itu juga dapat membantu melindungi kelangsungan syarikat tempatan yang terlibat dalam industri berkenaan, selain memenuhi keperluan pengguna yang semakin kompleks.
“Dapatan daripada kaji selidik ini akan digunakan untuk merangka dan membangunkan inisiatif yang bersesuaian agar industri pos dapat terus menyokong kehidupan seharian rakyat dalam jangka panjang,” katanya lagi.
Tambah kenyataan itu, sektor pos dan kurier yang memainkan peranan penting dalam aktiviti penghantaran bungkusan turut berupaya menyokong pertumbuhan pesat sektor e-dagang negara.
Orang ramai yang ingin menyertai kaji selidik berkenaan boleh berbuat demikian melalui pautan https://forms.office.com/r/R5LBCg5Qt2
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








