BERITA SEMASA

MCMC siasat 3,077 kes babitkan Akta Komunikasi dan Multimedia sejak 2009 – Nie Ching

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,077 kes melibatkan kesalahan berkait elemen lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik telah disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak 2009 sehingga 15 Jun lalu.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, 151 kes daripadanya jumlah keseluruhan kes tersebut telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Akta 588.

Kata beliau, sebanyak 72 kes membabitkan kesalahan elemen lucah telah didakwa di mahkamah dengan hukuman denda keseluruhan berjumlah RM617,050, 15 kes ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan RM38,000 dan 18 kes lagi dikeluarkan notis amaran.

“Bagi kesalahan melibatkan elemen sumbang, tiga kes telah didakwa di mahkamah dengan hukuman denda keseluruhan berjumlah RM55,000, tiga kes lagi dikeluarkan notis amaran.

“Bagi kesalahan melibatkan elemen palsu, 25 kes telah didakwa di mahkamah dengan hukuman denda keseluruhan RM162,300, empat kes ditawarkan kompaun dengan nilai RM11,000, 51 kes dikeluarkan notis amaran,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang ingin mengetahui mengenai statistik kes yang didakwa serta disabitkan di bawah Akta 588 pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, bagi kesalahan melibatkan elemen mengancam, tiga kes didakwa di mahkamah dengan denda keseluruhan RM3,000, manakala lima kes ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan RM21,000, dan lima kes dikeluarkan notis amaran.

“Bagi kesalahan melibatkan elemen jelik, sebanyak 48 kes didakwa di mahkamah dengan hukuman denda keseluruhan RM430,000, 22 kes ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan RM126,000, manakala 25 kes dikeluarkan notis amaran,” ujarnya lagi.

Tambah Nie Ching, siasatan dijalankan MCMC adalah berdasarkan aduan orang awam, permohonan daripada agensi penguatkuasaan serta pemantauan proaktif oleh MCMC khususnya terhadap aktiviti dalam talian yang melanggar Akta 588.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button