
Perkhidmatan NADI tidak terhad kepada golongan muda
Turut manfaatkan golongan dewasa yang ingin menambah ilmu, kemahiran
BANDAR TUN RAZAK – Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) tidak terhad kepada golongan muda sahaja bahkan turut meliputi semua golongan komuniti.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, program yang tersedia di pusat itu turut dapat memanfaatkan golongan dewasa yang ingin menambah ilmu dan kemahiran.

“Program-program seperti bengkel teknologi, kursus pembelajaran digital, dan sesi latihan keusahawanan adalah antara inisiatif dalam memastikan kita terus relevan dengan perkembangan teknologi.
“Di pusat ini, kita bukan sahaja diajar cara menggunakan teknologi, tetapi juga diberi pengetahuan tentang bagaimana melindungi diri dan keluarga daripada ancaman dunia maya,” katanya.
Wan Azizah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran NADI Desa Tun Razak, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
NADI ini merupakan salah satu daripada tiga Nadi baharu yang beroperasi sejak 17 September lalu di ibu negara.
Sehingga kini secara keseluruhannya terdapat 24 buah NADI di sekitar ibu kota.
Sementara itu, MCMC dalam satu kenyataan berkata, NADI Desa Tun Razak bakal menjadi ruang interaksi sosial dan tumpuan utama masyarakat setempat.
“Fungsi NADI kini telah diperluas bukan sahaja untuk menyediakan capaian internet, tetapi juga untuk memperkasa komuniti.
“Ia disusun oleh MCMC melalui lima teras utama inisiatif perkhidmatan pintar yang diperkenalkan sejak Julai 2024 iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran, dan inisiatif kerajaan,” kata kenyataan itu, hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








