BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

MCMC, telco laksana 866 inisiatif perkukuh rangkaian komunikasi sempena Aidilfitri

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) memperkukuh rangkaian komunikasi di seluruh negara bagi memastikan perkhidmatan kekal lancar dan stabil sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak 866 inisiatif pengukuhan rangkaian sementara telah dilaksanakan sejak awal Mac lalu bagi menampung peningkatan penggunaan semasa musim perayaan.

Daripada jumlah itu, 774 melibatkan kerja pengoptimuman rangkaian bagi meningkatkan kualiti liputan dan kapasiti, diikuti 27 pengaktifan serta modenisasi rangkaian 5G.

MCMC telco AIdilfitri
Sebanyak 866 inisiatif pengukuhan rangkaian sementara telah dilaksanakan sejak awal Mac lalu bagi menampung peningkatan penggunaan semasa musim perayaan.

Selain itu, 21 penyelesaian sementara seperti Portable Base Transceiver Station (PBTS), Cellular on Wheel (CoW), Mobile Base Transceiver Station (MBTS) dan Mobile Communications Vehicle (MCV) turut digerakkan untuk menambah liputan di kawasan tumpuan.

Sebanyak 19 kerja naik taraf rangkaian turut dilaksanakan, selain 14 perkongsian Rangkaian Akses Radio (RAN), 10 pengaktifan Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) dan satu tapak baharu diaktifkan.

Menurut MCMC, langkah berkenaan memberi tumpuan kepada lokasi yang dijangka mengalami peningkatan trafik komunikasi seperti lebuh raya utama, kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah serta destinasi pelancongan dan kawasan tumpuan orang ramai.

“Semua telco telah diarahkan memantau prestasi rangkaian secara berterusan dan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan atau penurunan kualiti perkhidmatan,” menurut kenyataan tersebut.

MCMC turut memaklumkan akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras dan pemantau melalui pejabat negeri, termasuk melaksanakan pemantauan lapangan secara responsif di lokasi kritikal.

Orang ramai yang mengalami masalah rangkaian disaran menghubungi telco masing-masing atau menyalurkan aduan melalui portal rasmi MCMC bagi membolehkan tindakan susulan diambil dengan segera.

“MCMC kekal komited memastikan rakyat terus menikmati perkhidmatan komunikasi yang lancar dan selamat, khususnya pada waktu-waktu penting seperti Hari Raya Aidilfitri ketika pulang ke kampung dan meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button