BERITA SEMASA

MCMC beri perhatian lsu liputan komunikasi luar bandar

CYBERJAYA – Isu liputan komunikasi yang membelenggu penduduk luar bandar terus menjadi perhatian pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Terbaharu, MCMC turun padang ke Kampung Sungai Relai di Gua Musang, Kelantan untuk mendengar sendiri keluhan penduduk setempat mengenai masalah liputan komunikasi yang kurang memuaskan.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati, terdapat sebuah menara komunikasi setinggi 76 meter (m) yang dibina di kawasan berkenaan.

“Namun, menara tersebut hanya menempatkan peralatan gelombang mikro untuk menghubungkan dua menara yang berada di lokasi berlainan dan tidak menyediakan liputan rangkaian kepada pengguna di sekitar,” kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.

Tamabah MCMC, pihaknya turut melaksanakan ujian bagi menilai tahap kualiti perkhidmatan selular di kawasan berkenaan.

“Hasil ujian mengesahkan tiada liputan di kawasan tersebut,” katanya lagi.

Sehubungan itu, MCMC telah mengenal pasti beberapa langkah bagi menangani masalah liputan komunikasi kurang memuaskan di kawasan tersebut.

Antaranya, Notis Suruhanjaya di bawah Seksyen 51(2), Akta Komunikasi danMultimedia 1998 telah dikeluarkan kepada semua penyedia perkhidmatan yang telah gagal mematuhi piawaian ditetapkan untuk penyediaan liputan di kawasan itu.

“Selain itu, MCMC juga telah mengenal pasti tapak cadangan menara baharu yang akan memberikan liputan lebih menyeluruh kepada penduduk setempat melalui pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan datang.

“MCMC turut berbincang dengan penyedia perkhidmatan untuk memberi pertimbangan supaya menara sedia ada di kawasan tersebut dinaik taraf kepada liputan 4G menggunakan sambungan gentian optik yang lebih stabil.

“MCMC akan terus memantau perkembangan pelaksanaan projek ini dan komited untuk memastikan penduduk di Kampung Sungai Relai mendapat akses perkhidmatan komunikasi yang berkualiti,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button