BERITA SEMASA

KKM, MCMC jalin kerjasama strategik perkasakan kesihatan digital luar bandar

TAWAU – Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan kerjasama strategik bagi memperkasa sistem kesihatan negara melalui penggunaan teknologi digital, khususnya dalam memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan kepada penduduk luar bandar dan pedalaman.

Kerjasama itu dimulakan menerusi projek perintis penghantaran ubat menggunakan dron di Sabah, dengan Klinik Kesihatan Tawau dipilih sebagai pusat utama penghantaran ke dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berhampiran.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama ini adalah satu langkah penting yang menawarkan penyelesaian mesra rakyat bagi mendepani cabaran sistem kesihatan di kawasan sukar akses.

“Penggunaan teknologi seperti dron untuk menghantar ubat dan kiosk telekesihatan bagi konsultasi maya antara doktor dan pesakit adalah antara pendekatan baharu yang mampu memberi kesan besar kepada taraf kesihatan penduduk luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kerajaan turut menyasarkan peluasan perkhidmatan e-Kesihatan secara menyeluruh menerusi lebih 1,000 NADI di seluruh negara yang akan menjadi gerbang kesalinghubungan digital di kawasan pedalaman. Sistem berasaskan pengkomputeran awan akan digunakan bagi menyokong proses rawatan susulan dan pemantauan pesakit, sekali gus memudahkan penghantaran ubat ke kawasan sukar diakses.

Beliau berkata, usaha turut digerakkan untuk meningkatkan literasi digital kesihatan dalam kalangan masyarakat tempatan bagi memastikan rakyat lebih yakin terhadap aspek keselamatan dan keberkesanan perkhidmatan kesihatan digital yang disediakan.

“KKM dan MCMC berpandangan, kerjasama ini amat penting ketika negara berdepan cabaran sistemik termasuk pertambahan populasi warga emas, peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) serta ketidakseimbangan nisbah pesakit dan petugas kesihatan.

“Ia juga menjadi langkah penting dalam merealisasikan misi “1 Individu, 1 Rekod” menerusi pengukuhan ekosistem kesihatan digital negara,” katanya lagi.

Menurut Dzulkefly, pendekatan ini selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju kesihatan digital serantau dan hab inovasi kesihatan global yang mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada seluruh rakyat tanpa mengira lokasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button