BERITA SEMASADALAM NEGERI

Bayi alami kegagalan jantung diterbang ke IJN menerusi Mercy Flight TUDM

SUBANG – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi No. 20 Skuadron melaksanakan misi Penerbangan Ihsan (Mercy Flight) bagi membawa seorang bayi perempuan berusia dua bulan dari Hospital Queen Elizabeth II ke Institut Jantung Negara untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bayi berkenaan, Aisyfah Hanna Mikayla dilapor memerlukan rawatan segera selepas mengalami simptom kegagalan jantung yang memerlukan pemantauan rapi pakar.

Menurut kenyataan TUDM, pesawat C-130H yang membawa pesakit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada pukul 5 petang sebelum selamat tiba di Pangkalan Udara Subang kira-kira pukul 8.45 malam, semalam.

“Sebaik tiba, pesakit dibawa menaiki ambulans ke IJN bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.

Misi penerbangan khas itu turut disertai pegawai perubatan daripada Institut Perubatan Penerbangan (IPP) serta seorang pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penerbangan berkenaan diketuai Mej Shahril TUDM selaku Komander Pesawat bersama Kapt Amirul TUDM sebagai pembantu juruterbang, manakala Kapt Ashroq TUDM bertindak sebagai jurumalim dan Mej Shaffar TUDM sebagai jurutera penerbangan.

Turut terlibat dalam misi itu ialah PW U II Azrul, Sjn U Ramdan dan L/Sjn U Suracon sebagai kuartermaster udara serta Sjn U (W) Izyan selaku pramugari.

TUDM berkata, No. 20 Skuadron sentiasa komited melaksanakan amanah termasuk misi bantuan kemanusiaan dan Penerbangan Ihsan demi kesejahteraan rakyat.

“Semoga adik Aisyfah Hanna Mikayla dipermudahkan urusan rawatan dan dikurniakan kesembuhan sepenuhnya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button