Letusan Anak Krakatau berakhir selepas lebih sehari
JAKARTA – Letusan berterusan gunung berapi Anak Krakatau di Selat Sunda yang menyaksikan banyak penutupan laluan penerbangan semalam berakhir selepas kira-kira 25 jam, menurut Badan Geologi Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral (ESDM) Indonesia.
Ketua Badan Geologi, Lana Saria berkata, letusan gunung berapi berkenaan yang bermula pada Jumaat, 11.07 malam waktu tempatan berakhir pada tengah malam Ahad (malam tadi).
Menurutnya, selepas episod letusan berterusan itu berakhir, aktiviti gunung Anak Krakatau kembali kepada corak letusan Stromboli.
“Selepas episod itu berakhir, aktiviti gunung berapi gunung Anak Krakatau kembali kepada ciri-ciri letusan Stromboli,” katanya dalam laporan penilaian aktiviti gunung berapi yang diterima di Jakarta pada Isnin.
Letusan Stromboli merujuk kepada gaya letusan gunung berapi yang berlaku secara berkala, lazimnya menghasilkan letusan kecil hingga sederhana dan bukannya letusan besar secara berterusan.
Badan Geologi pula menyifatkan kembalinya aktiviti Stromboli sebagai petunjuk bahawa fasa letusan berterusan yang berpanjangan telah berakhir.
Bagaimanapun, risiko berlakunya letusan susulan dalam tempoh terdekat masih tinggi.
Berdasarkan hasil pemantauan menggunakan instrumen antara 6 hingga 7 September 2026, Badan Geologi merekodkan tiga gempa letusan, sembilan gempa hembusan, 93 gempa frekuensi rendah dan 98 gempa berbilang fasa.
Selain itu, sebanyak empat episod tremor berterusan serta satu gempa gunung berapi cetek turut direkodkan dalam tempoh berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








