BERITA SEMASALUAR NEGARA

Krisis Gaza: Kebuluran tahap kritikal ancam nyawa ibu mengandung, bayi

ANKARA – Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) memberi amaran lebih 50,000 wanita hamil dan menyusukan anak di Gaza kini dalam keadaan kritikal akibat kebuluran berpanjangan.

Menurut kenyataan agensi itu, sebahagian besar daripada golongan terbabit tidak menerima sebarang makanan sejak beberapa hari lalu, sekali gus menjejaskan kesihatan ibu dan perkembangan bayi yang dikandung.

“Bayi dilahirkan terlalu awal, terlalu kecil, kekurangan zat dalam kalangan ibu menyebabkan mereka tidak mampu menyusukan anak, manakala susu formula pula sudah tiada,” jelasnya.

UNFPA menyuarakan kebimbangan krisis itu berpotensi menyebabkan kematian bayi serta memberi kesan kesihatan jangka panjang kepada generasi akan datang.

UNFPA menyifatkan keadaan itu tragik tetapi boleh dielakkan sekiranya laluan bantuan kemanusiaan dibuka segera tanpa halangan.

“#OpenUpGaza Benarkan bantuan masuk,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, akses kepada bantuan asas termasuk makanan, air dan perubatan di Gaza masih lagi disekat, walaupun rayuan berterusan dibuat oleh agensi-agensi PBB dan pertubuhan antarabangsa sejak konflik tercetus pada Oktober lalu.

Sehingga kini, lebih 57,000 penduduk Gaza dilaporkan terkorban dalam serangan tentera Israel, majoritinya wanita dan kanak-kanak.

Serangan itu melumpuhkan kemudahan kesihatan dan memusnahkan infrastruktur penting, sekali gus mempercepatkan penularan penyakit serta kekurangan makanan.

Kesan serangan berterusan menjadikan Gaza hampir mustahil untuk didiami, dengan jutaan penduduk kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan luar untuk terus hidup.

Susulan keadaan tersebut, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada November lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Israel turut diheret ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas dakwaan melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza satu pertuduhan yang terus menambah tekanan antarabangsa terhadap Tel Aviv.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button