Anwar rafak sembah tahniah Tunku Mahkota Ismail raih MVP JSCPT
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah tahniah kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas kejayaan dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026.
Anwar berkata, kejayaan itu sekali gus menyaksikan Tunku Mahkota Ismail memimpin Royal Johor menjulang kejuaraan berprestij berkenaan.
“Prestasi luar biasa, kepimpinan serta semangat juang Tuanku menyerlahkan keunggulan seorang jaguh sukan yang menjadi kebanggaan bukan sahaja rakyat Johor, malah seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail dinobatkan sebagai MVP JSCPT 2026 selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan berprestij itu.
Kejayaan baginda turut dilengkapkan apabila kuda milik Tunku Mahkota Ismail, Poliya Cara Pálida, dinobatkan sebagai Kuda Terbaik Kejohanan (Best Playing Pony), sekali gus mengiringi kejayaan Royal Johor menjulang kejuaraan edisi sulung itu.
Pengiktirafan sebagai MVP menjadi kemuncak penampilan cemerlang Tunku Mahkota Ismail yang mengemudi Royal Johor menewaskan Temasek 10-7 pada aksi final, dengan baginda menyumbang enam daripada keseluruhan 10 gol pasukan.
Pencapaian itu lebih bermakna apabila Tunku Mahkota Ismail tetap mempamerkan aksi bertenaga meskipun masih dibelenggu kecederaan tangan.
Kemenangan berkenaan menyaksikan Royal Johor muncul juara edisi sulung JSCPT, manakala Temasek menamatkan saingan sebagai naib juara dan Korea Polo Club menduduki tempat ketiga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








