BERITA SEMASAPMX

PM perkukuh hubungan Malaysia-Rusia, meterai kerjasama strategik di Kazan

KAZAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu misi diplomasi Malaysia di Kazan, Rusia diisi dengan beberapa siri pertemuan strategik yang memfokuskan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan demi manfaat rakyat.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Rais Tatarstan, Rustam Minnikhanov, penyertaan dalam Forum Perniagaan Rusia-ASEAN serta pertemuan empat mata dengan Presiden Rusia.

“Alhamdulillah, misi di Kazan, Persekutuan Rusia diisi dengan pelbagai siri perbincangan strategik yang cukup bermakna buat negara.

“Bermula dengan pertemuan erat bersama Rais Tatarstan, perbahasan di Forum Perniagaan Rusia-ASEAN, sehinggalah ke meja perundingan empat mata bersama Presiden Vladimir Putin.

“Setiap ruang dan peluang di pentas antarabangsa ini diteroka dan dimanfaatkan sepenuhnya demi memastikan manfaat ekonomi kembali kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pertemuan bersama Minnikhanov, kedua-dua pemimpin membincangkan potensi kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan industri halal, selain meneroka peluang dalam sektor hiliran minyak dan gas, penapisan serta petrokimia.

Mereka turut menyentuh peranan Kazan Forum sebagai platform memperkukuh inovasi ekonomi digital dan pelaburan strategik.

Ketika berucap pada Forum Perniagaan Rusia-ASEAN, Anwar menegaskan komitmen ASEAN untuk terus mempertahankan sistem perdagangan yang terbuka, adil dan berasaskan peraturan.

Beliau turut mengalu-alukan pelaksanaan ASEAN-Russia Strategic Programme on Trade and Investment Cooperation 2026-2035 bagi memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua pihak.

Dalam ucapannya, Anwar turut memetik kata-kata penyair agung Tatarstan, Abdullah Tukay, bahawa “Hanya dalam berkhidmat untuk rakyat, saya menemui kebahagiaan sejati,” sambil menegaskan matlamat utama setiap kerjasama ekonomi adalah untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, dalam pertemuan bersama Presiden Putin, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai aspek kerjasama dua hala termasuk komitmen jangka panjang dalam bekalan tenaga dan minyak, penerokaan bidang kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, keselamatan siber, pertanian moden dan farmaseutikal.

Turut dibincangkan ialah usaha memudah cara perjalanan menerusi pemansuhan visa, penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan melibatkan Ringgit dan Ruble serta pendirian konsisten Rusia terhadap isu Gaza dan Iran.

Anwar turut menghadiri Majlis Makan Malam Gala sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang dihoskan Presiden Putin.

Menurut beliau, persembahan kebudayaan Rusia yang dipersembahkan pada majlis itu mencerminkan kekayaan sejarah negara berkenaan serta sumbangan tamadun Islam dalam membentuk identiti masyarakatnya, sekali gus menjadi wadah mempererat hubungan persahabatan antara negara-negara serantau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button