BERITA SEMASAPMX

Karya P. Ramlee cerminan nilai, budaya dan identiti bangsa – PM

KUALA LUMPUR – Karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi cerminan nilai, budaya dan identiti seni bangsa yang membentuk jati diri masyarakat Malaysia sejak sekian lama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas menghadiri Konsert Live P. Ramlee ‘Madu Tiga’ yang berlangsung di Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO), di sini malam tadi.

Anwar P Ramlee
Perdana Menteri hadir menyaksikan Konsert Live P. Ramlee ‘Madu Tiga’ yang berlangsung di Malaysian Philharmonic Orchestra malam tadi. – Foto PMO

“Malah seni Allahyarham mengajar kita pentingnya kreativiti dan dedikasi dalam berkarya selain memberi inspirasi kepada semua.

“Semoga generasi masa kini terus menghargai dan memelihara warisan seni ini serta mengenang sumbangan Allahyarham P. Ramlee dalam industri hiburan negara,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah beliau, konsert tersebut dipersembahkan dengan penuh profesionalisme di bawah pimpinan konduktor tersohor, Ahmad Muriz Che Rose bersama pasukannya yang berdedikasi dalam menyampaikan persembahan muzik berkualiti tinggi dan mengagumkan.

Konsert Live P. Ramlee ‘Madu Tiga’ yang berlangsung dua hari bermula semalam menampilkan tayangan filem komedi klasik Madu Tiga diiringi persembahan muzik secara langsung.

Allahyarham P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh merupakan Seniman Agung Negara yang banyak memberi sumbangan dalam industri filem dan muzik ketika hayatnya sebelum meninggal dunia pada 29 Mei 1973.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button