Prestasi ringgit kukuh, ekonomi Malaysia lepasi sasaran pertumbuhan 2025
KUALA LUMPUR – Prestasi ringgit yang mencatatkan kedudukan terbaik dalam tempoh lima tahun menjadi antara petunjuk utama kekuatan ekonomi negara, apabila Malaysia merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.9 peratus bagi tahun 2025, melepasi unjuran rasmi sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu bukan sahaja mengatasi sasaran pertumbuhan 4.0 hingga 4.8 peratus, malah disokong peningkatan ketara pada suku keempat tahun lalu.
“Unjuran pertumbuhan tempoh Januari hingga September adalah pada 4.7 peratus, tapi Alhamdulilah angka suku tahun keempat iaitu pertumbuhan 5.7 peratus.
“Maka angka terkini pada pagi ini, saya ingin maklumkan pertumbuhan KDNK 2025 mencatat kadar 4.9 peratus. Iaitu mengatasi unjuran rasmi 4.0 hingga 4.8 peratus, bukan sahaja KDNK berkembang tapi prestasi ringgit terbaik lima tahun 4.05 ringgit ketimbang Dolar AS,” jelasnya dalam sesi di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar turut memaklumkan, Indeks Bursa Saham Malaysia mencatat paras 1,700 mata, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun manakala kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus iaitu terendah dalam 11 tahun.
“Ini kerjasama yang berhormat menjamin kestabilan politik dan kesinambungan kejelasan dasar bersama dengan usaha ggihh perkhidmatan awam dan peniaga dan pelabur.
“Keduanya, tentang hala tuju negara itu agak jelas, sepertimana diumumkan tentang Pelan Induk Perindustrian, Transformasi Digital, peralihan tenaga dan lain-lain.
“Ketiga, kesediaan kerajaan tekad politik melaksanakan pembaharuan dasar yang mencabar, membina keyakinan pelabur termasuk Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal. Defisit fiskal turun 5.5 peratus pada 2022 kepada 3.8 peratus 2025,” jelasnya lagi.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad di Dewan Rakyat berhubung faktor yang menyumbang kepada prestasi pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2025.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








