BERITA SEMASAPMX

Dilantik Ketua Menteri Tamil Nadu, PM ucap tahniah kepada Vijay

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pelakon dan ahli politik India, C. Joseph Vijay atas kejayaannya dipilih sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Anwar menyifatkan Vijay sebagai sahabat beliau dan memuji perjalanan politik pemimpin itu yang berjaya meraih kepercayaan rakyat selepas sekian lama dikenali sebagai bintang filem Tamil.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Foto Facebook

Menurut beliau, selama bertahun-tahun para peminat Vijay menyaksikan pelakon itu menewaskan ahli politik korup dan pelbagai penjahat dalam filem-filem lakonannya.

“Rakyat Tamil Nadu kini telah memberikan Vijay tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada mana-mana watak di layar perak,” katanya.

Anwar turut menyentuh slogan perjuangan Vijay, ‘Oru Viral Puratchi’ atau ‘Revolusi Satu Jari’ yang menurutnya kini berada di ambang mencipta sejarah.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia dan Tamil Nadu mempunyai hubungan sejarah, budaya serta hubungan rakyat yang erat sejak sekian lama.

“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Ketua Menteri Vijay pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

Kelmarin, bintang filem Leo dan The Greatest of All Time itu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu selepas parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) berjaya memperoleh sokongan majoriti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button