PMX

Kematian pelajar: PM arah siasatan segera, menyeluruh

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa diarahkan menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya terdapat unsur jenayah, tindakan tegas hendaklah diambil mengikut undang-undang.

“Keselamatan anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama. Kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Terdahulu, Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris mangsa, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.
“Saya amat berdukacita menerima berita pemergian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemui meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

“Takziah kepada keluarga dan waris Allahyarhamah, moga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini,” ujarnya.

Terdahulu, Irene Sofiya ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

Polis kemudian menahan tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan berhubung kematian mangsa.

Ketiga-tiga suspek dipercayai pelajar di sekolah sama dengan mangsa dan ditahan beberapa jam selepas mayat mangsa ditemukan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button