Kes bunuh Irene Sofiya: Polis rampas telefon, pakaian dan selipar suspek
BATU PAHAT – Polis merampas sebuah telefon bimbit, sepasang pakaian dan selipar selepas menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan pelajar perempuan, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal di sebuah sekolah di Yong Peng, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat kira-kira pukul 7 malam pada hari kejadian.

Menurutnya, suspek ditahan di sekitar Yong Peng selepas polis menerima maklumat mengenai penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.
“Semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Turut dirampas daripada suspek adalah sebuah telefon bimbit, sepasang pakaian dan sepasang selipar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang semalam, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mangsa di dalam sebuah dewan di sebuah sekolah di Yong Peng.
BACA JUGA:
Irene Sofiya pasang impian jadi doktor seperti arwah ibu
Tiga pelajar lelaki ditahan susulan pembunuhan Irene Sofiya
Nenek sempat peluk, ajar cucu mengucap sebelum terkulai
Mangsa bunuh di Yong Peng calon pelajar cemerlang SPM
Pelajar Tingkatan Empat ditemukan maut di sekolah, dipercayai dibunuh
Mangsa, Irene Sofiya, 16, mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini bagi mendapatkan perintah reman dan dibenarkan ditahan selama enam hari bermula 4 hingga 9 Oktober bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif dan punca kejadian serta menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







