Malaysia-India perkukuh kerjasama strategik, tumpu industri semikonduktor
NEW DELHI – Malaysia dan India bersetuju meneruskan momentum hubungan erat kedua-dua negara, termasuk memperkukuh kerjasama dalam sektor strategik khususnya industri semikonduktor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, di Hyderabad House di sini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Modi atas layanan istimewa yang diberikan kepada delegasi Malaysia sejak ketibaannya di New Delhi malam tadi.
“Alhamdulillah, kami sepakat untuk meneruskan momentum hubungan erat Malaysia-India serta memperteguh persahabatan yang berakar daripada sejarah panjang dan hubungan akrab antara rakyat kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Anwar, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama dalam industri semikonduktor, mengambil kira kekuatan kedua-dua negara yang saling melengkapi.
Katanya, potensi kerjasama itu boleh digembleng menerusi kerjasama industri, integrasi rantaian bekalan, pembangunan bakat serta peningkatan pelaburan dua hala.
Dalam pertemuan sama, Anwar turut membangkitkan keperluan untuk memudah cara dan mempercepat kemasukan barangan eksport Malaysia ke pasaran India.
Langkah itu penting bagi membuka ruang lebih luas kepada syarikat Malaysia untuk memanfaatkan potensi pasaran India yang besar dan berkembang pesat.
“Insya-Allah, Malaysia dan India akan terus memperkukuh persahabatan ini yang saling menguntungkan demi kemakmuran rakyat kedua-dua negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








