AUKU bakal diganti akta baharu lebih komprehensif – Dr Zambry
KUALA LUMPUR – Kerangka perundangan baharu yang lebih komprehensif akan digubal bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) atau AUKU, selaras dengan agenda transformasi pendidikan tinggi negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata usaha memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi itu sudah digariskan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang dilancarkan pada Januari lalu.
Beliau berkata, agenda berkenaan merangkumi pembentukan One Higher Education Act sebagai langkah menyediakan satu kerangka perundangan yang lebih menyeluruh bagi sektor pendidikan tinggi negara.
“Saya mengambil maklum pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan beliau untuk memansuhkan AUKU ketika ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zambry, AUKU bukan sekadar undang-undang yang mengawal selia hal ehwal atau kebebasan mahasiswa, sebaliknya merupakan akta induk yang menjadi asas kepada penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti serta kolej universiti.
Justeru katanya, pemansuhan AUKU perlu disusuli kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh, progresif dan bersesuaian dengan keperluan pendidikan tinggi masa kini serta masa hadapan.
“Proses ini pastinya akan dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh, dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk kepimpinan universiti, ahli akademik, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta, pemain industri, politeknik dan kolej komuniti (POLYCC), penyedia TVET, pakar perundangan, mahasiswa serta pihak-pihak berkaitan,” katanya.
Zambry berkata, matlamat kerajaan bukan sekadar memansuhkan AUKU, tetapi membina kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih komprehensif dan berdaya hadapan.
Katanya, kerangka baharu itu akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa, selain memastikan aspek tadbir urus, akauntabiliti serta kecemerlangan institusi pendidikan tinggi terus terpelihara.
“Ini merupakan sebahagian daripada transformasi pendidikan tinggi negara yang telah kita mulakan menerusi RPTM 2026-2035, bagi memastikan sistem pendidikan tinggi Malaysia kekal relevan, dinamik dan mampu menghadapi perubahan landskap pendidikan global,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








