Kerajaan adakan mesyuarat khas esok bincang langkah mitigasi kurangkan kesan kenaikan bil elektrik
PUTRAJAYA – Kerajaan MADANI akan mengadakan satu mesyuarat khas esok bagi bagi meneliti langkah mitigasi segera untuk mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terlibat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat khas itu akan diadakan bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kewangan (MOF).
“Sekembali dari India dan Maldives, perhatian saya terus tertumpu kepada keresahan rakyat terkait kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini.
“Saya mendengar keluhan yang disuarakan dan perkara ini perlu diberi perhatian serta ditangani segera,” kata Anwar dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Beliau berkata, ikhtiar penyasaran subsidi akan terus dipertahankan bagi melindungi majoriti rakyat.
“Sekitar 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan kenaikan kadar susulan peningkatan kos bahan api tahun ini.
“Namun, keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas sejak kebelakangan ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan sekali gus tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA),” katanya lagi.
Beliau kemudiannya menegaskan, Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap langkah penyasaran subsidi dilaksanakan secara adil dan munasabah, dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








